SELANGOR FC
BERITA

Kalamullah #IsRed

Sep 16, 2024 - FAS

Kalamullah #isRED 

Selangor FC hari ini secara rasmi mengumumkan penjaga gawang baharu kelab, Kalamullah Al-Hafiz bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan ACL2 2024-25.

Lebih mesra dengan panggilan Kalam, tiga tahun beraksi sebagai pemain pembangunan Felda United, beliau berjaya menembusi skuad utama pasukan tersebut dan beraksi dalam satu perlawanan. Nama beliau terus dikenali ramai bersama skuad PJ City FC sejak 2019. Kalam berjaya membuat 54 penampilan dalam empat tahun berkhidmat bersama PJ City FC sebelum kelab tersebut dibubarkan. Beliau kemudian, menempa nama bersama Kedah Darul Aman FC selama setahun dengan 36 penampilan. Mengikut statistik, Kalam berjaya membuat 34 rekod perlawanan tanpa bolos. 

Persembahan cemerlangnya pada musim 2022 telah membantu beliau untuk beraksi buat kali pertama bersama skuad Harimau Malaya pada 9 Disember dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa  menentang Cambodia.

Menurut Kalam, beliau akan cuba menyesuaikan diri dengan kadar segera untuk mencapai kejayaan bersama Selangor FC.

“Selangor adalah antara nama kelab yang besar dalam liga Malaysia terutama sekali semasa zaman arwah Mokhtar Dahari, Shukor Adan dan ramai lagi pemain-pemain lain yang pernah bermain dalam kelab ini,”

“Suasana di sini agak berbeza bagi saya tetapi bukan satu alasan untuk saya sesuaikan diri dengan pemain-pemain lain. Harapan saya pula adalah untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi dan mencapai banyak kejayaan bersama pasukan ini.”

Beliau juga mengharapkan sokongan padu daripada para penyokong, “Saya juga berharap para penyokong dapat berikan kata-kata semangat untuk pemain dan berikan sokongan kepada kami kerana dengan cara tersebut mampu meningkatkan motivasi kami.”

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Kalamullah Al-Hafiz. Semoga beliau dapat menambah kekuatan barisan penjaga gawang Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024. Selamat datang, Kalam!

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025.

Demi Kebanggaan!